JOHOR BAHRU: Pengirim sebenar khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta wang tebusan berjumlah puluhan ribu ringgit kononnya bagi membebaskan Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, yang hilang pada 1 Mac lalu sebelum disahkan dibunuh, sebenarnya seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.
Ketika mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, kes itu berjaya dibongkar selepas polis menahan seorang bekas anggota tentera berpangkat Koperal di Kelantan, 16 Mac lalu.
“Hasil siasatan terhadap bekas anggota tentera terbabit bersama teman wanitanya mendapati SMS itu dihantar anak lelakinya.
“Koperal berusia 45 tahun yang juga duda dua anak itu ditahan di kediamannya di Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong, Machang,” katanya.
Mokhtar ditemui pada majlis Perhimpunan dan Melafaz Ikrar Sempena Peringatan Hari Polis ke-205 di kawasan tempat letak kereta Pasaraya Maslee, Setia Indah, di sini.
Menurut Mokhtar, polis menemui tiga telefon bimbit di kediaman lelaki terbabit sebelum ia disita untuk pemeriksaan.
“Saya sahkan kes ini ditutup kerana SMS terbabit dihantar seorang kanak-kanak. Kerjasama yang diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan membantu menyelesaikan kes ini.
“Saya turut nasihatkan orang awam supaya tidak melakukan perkara sedemikian selain memastikan anak berada di bawah jagaan tidak melakukan perkara negatif seperti itu,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan