BERDENGKUR sering dianggap tabiat melucukan dan terlalu lazim dalam kalangan masyarakat, namun tahukah berdengkur sebenarnya gambaran awal seseorang itu bukan saja berhadapan masalah dengan pasangan dan kualiti kehidupan tetapi juga masalah kesihatan yang serius.
Tabiat berdengkur berlaku apabila seseorang mengeluarkan bunyi bising semasa bernafas sewaktu tidur. Ia disebabkan saluran pernafasan separa tersumbat di bahagian hidung atau kerongkong, menyebabkan getaran lelangit lembut dan otot kerongkong yang menghasilkan bunyi. Terminologi perubatan untuk masalah ini disebut ‘steator’.
Masalah ini biasanya dikesan menerusi diagnosis pakar perubatan dari segi sejarah pesakit atau pasangan tidur yang kerap mempunyai masalah untuk lelap akibat terganggu.
Pesakit berdengkur juga boleh mengalami gejala mengantuk pada waktu siang, sakit kepala, keletihan, kelesuan, perasaan cepat marah, kerap bangun malam, masalah penumpuan dan kurang daya ingatan. Paling membahayakan sekiranya pesakit senang tertidur semasa memandu terutama ketika perjalanan jauh atau sedang menunggu di simpang lampu trafik.
Menurut Pakar Bedah Otorinolaringologi Hospital Columbia Asia, Bukit Rimau, Dr Mazita Ami, punca berdengkur disebabkan saluran pernafasan separa tersumbat sewaktu tidur terutama sewaktu tidur nyenyak dan ia boleh dipengaruhi pengambilan alkohol atau ubat-ubatan sebelum tidur.
“Saluran pernafasan tersumbat boleh berlaku pada bahagian hidung atau kerongkong atau kedua-duanya sekali. Oleh itu kehadiran tisu tonsil atau adenoid yang besar, polip hidung, tulang hidung yang bengkok dan pesakit yang berlebihan berat badan dan mempunyai leher pendek dan besar akan meningkatkan risiko masalah berdengkur,” katanya.
Masalah berdengkur boleh dikaitkan dengan masalah tidur serius dikenali ‘sleep apnea’. Ia berlaku apabila pesakit berhenti bernafas lebih daripada 10 saat sewaktu tidur (apnea). Apnea pula boleh berlaku berulang kali sewaktu tidur dan menyebabkan pengurangan kandungan oksigen dalam darah pesakit.
Jelasnya, ‘sleep apnea’ yang tidak dirawat boleh membawa masalah darah tinggi, sakit jantung, angin ahmar, glaukoma dan sebagainya. Kerana itulah juga masalah berdengkur lazimnya dialami pesakit lelaki dalam lingkungan usia 30 hingga 60 tahun terutama yang mempunyai masalah berat badan berlebihan.
Adalah penting bagi pesakit mendapat nasihat pakar untuk mengetahui sekiranya mereka mempunyai masalah ‘sleep apnea’. Masalah ini mempunyai beberapa tahap serius mengikut hasil kajian tidur yang dijalankan ke atas pesakit di makmal tidur di hospital atau di rumah pesakit sendiri.
Menerusi kajian ini, pakar akan dapat mengesan kekerapan ‘apnea’ semasa tidur kerana semakin kerap berlaku ‘apnea’, semakin serius tahap penyakit itu dan kesannya kepada kesihatan pesakit.
Rawatan untuk masalah berdengkur bergantung kepada punca yang dikenal pasti. Pembedahan boleh dilakukan untuk merawat masalah saluran pernafasan sempit seperti tisu tonsil yang besar, polip hidung dan sebagainya. Sekiranya berkaitan dengan ‘sleep apnea’, rawatan ‘continuous airway pressure’ adalah antara yang berkesan.
Pesakit yang obes juga dinasihat untuk mengurangkan berat badan.
Tegasnya, berdengkur bukan masalah lazim yang patut diterima bila umur meningkat. Ia boleh membawa masalah ‘sleep apnea’ yang serius dan memudaratkan kesihatan pesakit. Mereka yang mengalami masalah tidur bersama gejala mengantuk waktu siang, sakit kepala, keletihan dan masalah emosi perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan.
Info
Langkah pencegahan dengkur
Mengurangkan berat badan sekiranya mengalami masalah berat badan berlebihan.
Elak pengambilan alkohol atau ubat yang memberi kesan mengantuk sebelum tidur.
Memilih posisi tidur secara mengiring.
Mengamalkan jadual tidur yang tetap setiap hari.
Mendapatkan rawatan bagi hidung tersumbat atau ruang kerongkong yang sempit.
0 ulasan:
Catat Ulasan