Setiap Hari, Selama 21 Tahun, Bapa Menanti Anak Yang Diculik Di Lokasi Yang Sama:
Kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa berganti nyawa. Itulah ungkapan yang sesuai bagi mencerminkan kasih sayang seorang bapa di China.
Kisah bermula 21 tahun yang lalu di Bandar Chongqing apabila anak tunggal kepada lelaki berkenaan yang ketika itu berusia lima tahun diculik.
Sejak kejadian itu, setiap hari selama 21 tahun, Hu Shangming tanpa jemu menunggu di tempat yang sama di mana anaknya itu diculik dan berdoa supaya keajaiban berlaku.
Selama 21 tahun, Hu Shangming, seorang penjual buah-buahan di bandar Chongqing, tidak pernah berhenti berharap untuk berjumpa anaknya semula.
Disebabkan mahu berada di kawasan kejadian itu setiap hari, Hu sanggup membeli sebuah rumah dan membuka perniagaannya di kawasan tersebut.
“Saya bimbang jika dia (anaknya) tidak dapat menemui saya.
“Saya akan sentiasa berada di sini dan tidak akan ke mana-mana,” kata Hu kepada wartawan beberapa tahun lalu.
Ujarnya ketika itu, dia tidak dapat melupakan saat di mana dia tidak dapat mencari anaknya yang hilang dan berasa teramat sedih bila mengingati kembali kejadian tersebut.
Namun, penantian, doa dan pengorbanan selama 21 tahun oleh Hu berbalas jua. Keajaiban yang dinanti itu akhirnya muncul.
Beberapa minggu lalu pihak polis daerah Xiamen telah berjumpa dengan Hu dan menyatakan ada seorang lelaki sedang mencari ibu bapa kandungnya di kawasan itu.
Pihak polis membuat andaian yang lelaki tersebut mungkin merupakan anak yang dicari oleh Hu selama ini.
Hu pantas mengakui yang lelaki tersebut merupakan anak kandungnya apabila pihak polis menunjukkan gambar lelaki itu ketika berumur tujuh tahun.
“Itu adalah anak saya! Betul, anak saya!” kata Hu.
Hu dan lelaki berkenaan, Ma Yongzhen, 26 telah menjalani ujian DNA bagi mendapatkan kepastian.
Pihak perubatan telah mengesahkan yang Hu dan Ma merupakan bapa dan anak kandung kerana mempunyai hubungan darah yang sama.
Sewaktu hari perjumpaan mereka, Hu menangis dengan penuh emosi sambil memeluk erat dan enggan melepaskan anaknya yang disangka telah hilang buat selamanya.
Menurut Hu, hari tersebut merupakan hari yang paling menggembirakan dalam hidupnya.
Pada masa yang sama, Ma menjelaskan yang dia terlalu kecil pada waktu kejadian itu untuk mengingati ibu bapa yang sebenar.
“Saya hanya ingat yang mereka ada menjual buah anggur di tepi jalan dan banyak pokok oren ditanam hadapan rumah saya,” ujar Ma.
Mengimbau kembali kejadian itu, ia bermula dengan Hu dan isterinya yang menjalankan perniagaan buah-buahan di bandar Shapingba (bandar lain) dan mereka terpaksa membawa anak mereka, Hu Yong (Ma Yongzhen – nama selepas diculik) kerana tiada siapa yang menjaganya di rumah.
Pada 19 Februari 1991, Hu Yong yang pada ketika itu berusia lima tahun telah hilang sewaktu bermain sendirian semasa ibu bapanya bekerja.
Menceritakan kembali kes penculikan tersebut, Ma berkata, ketika itu dia sedang memakan tebu yang diberi oleh jirannya dan secara tiba-tiba matanya ditutup dan dia dilarikan.
Lantaran dari kejadian itu, tiga suspek telah ditangkap tetapi pihak polis tidak dapat menjumpai Hu Yong kerana dia telah pun dijual kepada pasangan yang tidak dikenali ketika kesemua suspek berkenaan ditahan.
Walaupun Ma kurang pasti berkenaan wajah ibu bapa kandungnya, namun dia masih mengenali bapanya walaupun setelah 21 tahun berlalu.
“Bila saya lihat Hu, saya tahu yang dia adalah bapa saya!,” ujar Ma.
Kisah ini jelas menunjukkan betapa hebatnya pengorbanan seorang bapa kepada seorang anak. Sayangilah bapa anda sementara mereka masih hidup.
Oleh: HARITS ASYRAF
sumber: mynewshub.my
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Jangan malu Sila klik pada Gambar untuk melihat animasi solat yang ringkas beserta audio bacaan yang mudah difahami!
0 ulasan:
Catat Ulasan